Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud: ”Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang amat besar.”
Panel pendakwah dan pendidik, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata Allah sengaja menguji keimanan kita untuk melihat sama ada kita semakin bersyukur apabila dikurniakan zuriat atau semakin jauh daripada-Nya.
Segala ujian itu tidak terlepas daripada dua perkara, iaitu sebagai penghapus dosa atau peningkatan darjat.
“Apapun sebab kita diuji dengan kerenah anak, Allah bukan bertujuan menyeksa kehidupan kita, tetapi ini tanda kasih sayang-Nya. Sebelum ibu bapa memilih kaedah paling sesuai mendidik atau mengajar anak, mereka perlu pastikan tiga perkara iaitu mengenal pasti jenis kenakalannya, tahap nakal serta membezakan kesilapan dan kesalahan anak.
“Ibu bapa perlu faham jenis atau kategori kenakalan anak kerana pemahaman perkara ini penting supaya mereka dapat menangani masalah anak dengan betul dan berkesan.
“Selain itu, tahap kenakalan anak berbeza mengikut peringkat umur, jantina, kecerdasan akal fikiran, pengaruh rakan dan persekitaran, didikan, suasana keluarga dan taraf ekonomi sesebuah keluarga. Yang pasti, kenakalan anak yang usianya lebih besar adalah lebih serius berbanding anak kecil.
“Anak tidak sepatutnya dihukum kerana melakukan kesilapan, tetapi memadai dengan dinasihati supaya dia lebih berhati-hati pada masa akan datang.
“Contoh kesilapan ialah anak tidak sengaja memecahkan tingkap ketika bermain bola, manakala kesalahan pula adalah perbuatan yang tidak betul dan disengajakan. Ia terbahagi dua iaitu kesalahan besar dan kecil,” katanya.
Wan Akashah berkata, kesalahan besar ialah yang jelas melanggar syariat atau undang-undang dan boleh mendatangkan mudarat kepada dirinya dan orang lain. Contohnya anak sengaja bercakap bohong, tidak solat atau memukul rakan.
Kesalahan kecil pula biasanya tidak jelas melanggar syariat dan tidak membahayakan, tetapi mungkin melanggar peraturan manusia. Contohnya suka menconteng dinding atau tidak mahu buat kerja sekolah.
Sebagai manusia biasa, ada kalanya kerenah anak membuatkan ibu bapa hilang sabar. Selain asuhan baik, doa adalah kaedah penting yang mesti diamalkan ibu bapa dalam mendidik anak.
“Ada doa di dalam al-Quran untuk melembutkan hati anak supaya dengar cakap dan mudah mengerjakan solat. Antara doa yang perlu diamalkan ialah surah Toha ayat 1-5, surah al-Syura ayat 19 dan surah al-Hasyri ayat 21. Doa ini boleh diamalkan dengan meniup pada ubun rambut anak atau ditiup ke dalam air,” katanya.
Menurutnya, antara pendekatan lain yang boleh diambil dalam menangani kerenah anak ialah:
- Bersikap adil dalam semua perkara.
- Konsisten dalam tindakan menangani masalah.
- Jalin hubungan baik dengan anak.
- Jadikan diri sendiri sebagai contoh.
- Berlembut walaupun tegas.
- Tunjukkan kemesraan dan kasih sayang.
- Tunjukkan penghargaan pada anak.
- Jangan bezakan kasih sayang terhadapnya.
- Sesuaikan tindakan dengan watak.
- Kurangkan pengaruh negatif.
- Tunjukkan minat mendalam dalam menangani masalahnya.
- Beri peluang untuk anak meluahkan perasaannya.
- Adakan usrah keluarga.
- Jangan mengungkit kelemahannya.
- Dapatkan kerjasama keluarga.