Monday, December 6, 2010

Kisah disebalik bencana tsumani di Kepulauan Mentawai

ANTARA perbualan hangat dibualkan penduduk di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Indonesia selepas perkampungan itu dilanda bencana tsunami pada 25 Oktober lalu ialah kisah satu-satunya kanak-kanak lelaki yang terselamat di Dusun Sabue Gunggung, Desa Betumonga, Pulau Pagai Utara.Kanak-kanak itu dikenali sebagai Alex berusia enam tahun. Dia dikatakan masih bernyawa kerana sempat menjamah seulas durian sebelum membawa separuh daripada buah itu ke puncak pokok kelapa dengan ketinggian 12 meter. Dia, difahamkan memanjat pokok itu buat kali pertama dalam hidupnya.
Darius
 


Selepas tiga hari ombak tsunami mencecah hampir 6 meter melanda dan meranapkan perkampungan itu serta mengakibatkan 446 penduduk maut termasuk ahli keluarganya, Alex turun dari pokok kelapa dalam keadaan bersahaja sambil tangan kanannya memegang kulit durian.kanak-kanak itu tidak menghiraukan panggilan, sebaliknya berjalan terus sehingga ke pinggir pantai dalam keadaan hujan renyai-renyai.Menyedari tindakan Alex berpakaian seluar pendek dan kemeja-T berwarna putih merah yang mungkin akan mengancam dirinya, seorang petugas Basarnas bertindak mendukung dan membawanya ke tapak perkhemahan kumpulan penyelamat terbabit.

Dalam bahasa Minang, Alex mengucapkan perkataan durian dan kelapa berulang kali. Dia juga menceritakan detik tsunami melanda dusunnya dan keajaiban menikmati durian di puncak pokok kelapa ketika air besar dan tinggi sedang ‘menelan’ perkampungannya. 
Alex kemudian mengadu lapar dan diberi makan mi segera sebelum dibiarkan tidur sendirian. Sementara itu, petugas meneruskan kerja mengangkat dan mengebumikan mayat. Bagaimanapun, dalam tempoh dua jam Alex dibiarkan sendirian, kanak-kanak itu menghilangkan diri bersama kulit durian dan hingga kini dikatakan masih belum muncul.

Petugas Basarnas berusaha mencari Alex hingga ke Pulau Sikakap iaitu pekan kecil yang menyediakan hospital dan pusat rawatan sementara milik Tentera Nasional Indonesia (TNI), tetapi dia gagal dikesan.  Satu lagi kisah seorang budak kecil yang bernama Darius  kini hidup sebatang kara  apabila ibu bapa serta dua kakaknya menjadi korban ‘dibaham’ ombak tsunami.

Rutin hariannya selama dua minggu sejak kejadian itu adalah dia akan singgah ke kubur ibunya setiap kali melalui tapak perkuburan selepas mengambil barangan makanan dari khemah Basarnas. Dia hanya inginkan tiga tin sardin.

Difahamkan, sardin adalah makanan kegemaran ahli keluarganya malah setiap kali singgah ke tapak perkuburan dia akan menceritakan keperitan hidupnya selain melahirkan rasa rindu kepada ahli keluarga sambil menangis teresak-esak.

Bagaimanapun tangisannya hanya kedengaran lima minit sebelum dia memulakan perjalanan ke tapak khemahnya sambil bernyanyi riang dan membawa tiga tin sardin. Betapa kisah tragis sedih ini wajib menjadi pedoman bagi mereka yang masih mempunyai insan yang disayangi.   Semoga kita jadikan  detik hitam kehidupan mereka untuk kita lebih kuat dalam dugaan hidup. Petikan dari Berita Harian 29 nov 2010. oleh Suhana Roslan..

No comments:

Post a Comment